Ad

Nuffnang Ads

My Friends

Sunday, April 29, 2012

BERSIH 3.0 : Sisi Pandang Seorang Manusia Biasa - Abu Hafiy




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Ramai sahabat bertanya kepada saya bagaimana perhimpunan tadi. Banyak kisah gembira dan mendukacitakan dihebahkan melalui media dan laman FB. Saya cuba untuk menulis berdasarkan pengalaman saya di lokasi Masjid Jamek dari jam 11 pagi ke 5 petang. InsyaAllah saya akan cuba untuk memberikan padangan dari semua segi agar adil buat semua pembaca nota ini.


Ini adalah pertama kali saya turun dalam demostrasi di Malaysia. Saya pernah ada pengalaman turun dalam beberapa siri demostrasi di Ireland termasuk BERSIH 2.0, demonstrasi menentang 'occupation of Gaza' dan penindasan rakyat Syria. Kali ini saya turun sebagai sukarelawan pegawai perubatan yang mempunyai misi membantu mana-mana insan yang memerlukan bantuan tak kira bangsa, agama, umur mahupun peserta ataupun polis sendiri. Kami berpakaian biasa dengan ves berwarna hijau dengan tulisan Medical Team yang cukup mudah dikenali awam.


Saya dan isteri tiba dalam pukul 11 pagi di Stesen Putra Masjid Jamek. Ramai polis kelihatan mengawasi stesen berkenaan. Polis tidak menghalang atau melakukan sebarang tindakan provokasi terhadap orang awam yang turun walaupun ramai yang jelas memakai baju BERSIH. Apabila kami keluar dari stesen berkenaan, kami disapa oleh seorang mak cik lingkungan 40-an yang mengatakan bahawa nampaknya perhimpunan kali jauh lebih aman berbanding BERSIH 2.0 dengan kerjasama yang sangat baik dari pihak polis.


Kami menuju ke Masjid India di mana kumpulan kami diminta berkumpul untuk sesi 'briefing'. Masa menunggu kawan-kawan yang lain digunakan mengambil gambar, beramah mesra dengan kawan-kawan yang hadir, membeli air di gerai yang tak putus-putus dengan pembeli. Kumpulan yang berada di persekitaran Masjid India saya boleh katakan semudahnya mencecah 2000 orang minimum dalam keadaan kawasan berkenaan tidaklah begitu besar. Kelihatan mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik lingkungan umur 60 - 70 yang turut sama hadir. Kagum! Ada juga anak-anak kecil yang dibawa oleh ibu dan bapa. Suasana meriah seperti ada sambutan besar sedang berlangsung.


Setelah solat zuhur di Masjid India, kelihatan Dr Dzulkilfi Ahmad, AJK PAS Pusat telah tiba dan bermulalah sesi ucapan ringkas daripada beliau diikuti oleh laungan BERSIH, takbir dan sebagainya. Ketika kumpulan kami diminta bergerak ke kawasan berhadapan Stesen Putra Masjid Jamek di mana ketua kumpulan kami sedang menunggu.


Subhanallah!


Kumpulan yang agak kecil pada awal tadi telah bertambah bilangannya. Saya tidak dapat mengagak bilangan yang hadir memandangkan tidak berada pada tempat yang tinggi untuk melihat. Tapi sejujurnya, minimum 20,000 orang berada di kawasan berkenaan. Kami mengambil masa yang sangat lama untuk tiba di tempat berkenaan kerana perlu menempuhi lautan manusia.


Tiba kami di tempat Medical Unit, saya berkenalan dengan doktor-doktor dan pengamal perubatan yang ada. Kata mereka perhimpunan kali nampaknya jauh lebih baik. Kami menunggu di sana hingga jam 3 petang tanpa ada apa-apa masalah. Suasana cukup baik, selang seli dengan sorakan dari demonstran yang hadir. Kelihatan beberapa figur berada di atas pentas, antaranya Ambiga dan DSAI.


Tiba-tiba, kami melihat kumpulan besar itu mula bergerak menjauhi arah Dataran Merdeka. Bau gas mula terasa, kemudian disusuli rasa pedih di muka. Face mask dipakai dan garam dikunyah. Seorang doktor kelihatan menyembur muka-muka demonstran dengan air bercampur antasid untuk mengurangkan rasa sakit. Ada yang berdarah di bahagian muka terkena canister daripada semuburan gas. Seorang demostran menghampiri saya, katanya Unit Amal baru sahaja menghebahkan agar demonstradi bersurai atas arahan pimpinan. Belum sempat beredar, polis telahpun mula menyembur kumpulan demonstran dengan air asid dan gas pemedih mata tanpa memberikan sebarang amaran.Kami mula berjalan perlahan-lahan menjauhi kawasan yang disembur.


Tatkala ramai yang sudah bergerak, kami ternampak seorang lelaki tua dalam lingkungan umur 70 tahun sedang duduk kepenatan. Saya dan kawan-kawan memimpin dia perlahan-lahan menjauhi kawasan semburan. Ada lagi beberapa insiden di mana ada di kalangan peserta yang hadir pengsan, sesak nafas, cederan bahagian kaki dan sebagainya. Setiap daripada mereka dirawat sebaiknya dengan alatan perubatan yang ada.


Kami berjalan agak jauh daripada kawasan Masjid Jamek menjauhi asap yang pedih itu. Kami sentiasa disapa dengan baik dengan senyuman daripada peserta. Bajunya mungkin terlalu menawan =). Sampai di satu tempat berdekatan dengan Menara Maybank, kami duduk berehat. Kelihatan para peserta sudah berjalan menuju pelbagai arah, menandakan perhimpunan hampir tamat.


Jam 430 petang, kami bergerak semula ke arah Stesen Putra Masjid Jamek dengan tujuan mengambil tren pulang ke rumah. Tiba-tiba kedengaran teriakan manusia dan kepulan asap. Oh, masih belum tamat rupanya. Saya dimaklumkan provokasi berlaku antara polis dan beberapa demonstran. Sesiapa yang memulakannya, saya tidak pasti. Tapi saya tidak menolak kemungkinan bahawa ada demonstran yang memulakan provokasi di samping tindakan polis yang tidak henti-henti menyembur gas dan air asid.


Kami berjalan ke arah bahagian hadapan kumpulan peserta itu melalui jalan-jalan tepi sehingga masuk ke dalam Stesen Putra. Alhamdulillah tiada apa-apa masalah. Kami menuju ke arah Masjid India untuk bertemu dengan ahli keluarga yang lain, tiba-tiba disapa oleh seorang peserta yang terkena canister pada badannya. Iodin disapu pada kawasan yang luka dan diletakkan plaster. Tiada kecederaan serius insyaAllah.


Disebabkan ahli keluarga telahpun bergerak pulang setelah lama menunggu kami tiba, kami pun mengambil keputusan untuk terus mengambil tren pulang ke rumah. Pegawai polis ramai berkeliaran dalam stesen berkenaan. Mereka kelihatan bekerjasama dengan baik dengan peserta yang ada. Tiada provokasi berlaku. Alhamdulillah. Kami akhirnya tiba di rumah hampir jam 6. Penat memang penat tapi saya tidak menafikan saya puas kerana dapat hadir bersama ratusan ribu manusia membanjiri Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.


Saya agak kecewa kerana tidak dapat memberikan rawatan kepada pihak polis dan FRU jika ada yang cedera. Walaupun pandangan sisi politik kita berbeza, insyaAllah disiplin profesionalime seorang doktor saya akan jaga sepenuhnya. Teringin untuk bersama peserta melaung slogan-slogan tapi atas dasar profesionalisme, Alhamdulillah saya dapat mengekalkan 'non-partisan' saya dalam himpunan hari ini.


Pandang sisi saya :


1. Saya cukup kecewa kerana demonstrasi ini tidak dibenarkan untuk masuk ke Dataran Merdeka. Bagi saya, jika ia dihalalkan oleh pihak berkuasa, banyak perkara yang tidak diingini tidak akan berlaku.


2. Sewajarnya pihak berkuasa memberikan sahaja permit berkumpul dan bagi saya wajar diletakkan syarat-syarat berdasarkan perbincangan dengan pihak penganjur. Sebagaimana di luar negara, di samping anggota polis yang cukup membantu, tanpa provokasi langsung, syarat-syarat seperti masa yang dibenarkan untuk demonstrasi, tanggungjawab penganjur terhadap apa-apa kesalahan peserta termasuk mengotorkan tempat dan sebagainya.


3. Keadaan aman di lokasi-lokasi tadi menyebabkan saya hairan akan keamanan perhimpunan hari ini sehinggalah polis mula menyembur gas dan air asid. Bagi saya, walaupun perhimpunan kali masih dikategorikan sebagai haram oleh pihak berkuasa, kalaulah polis meminta dengan baik daripada pimpinan perhimpunan untuk bersurai, saya meyakini ia tidak akan berakhir sedemikian rupa.


4. Apabila polis mula menyembur air asid dan gas pemedih mata, bermula bibit-bibit provokasi dan keganasan. Saya tidak menolak bahawa ada kemungkinan demonstran yang terlibat dalam aksi keganasan ini mungkin diupah untuk berbuat demikian untuk memburukkan keadaan namun saya juga tidak menolak kemungkinan yang lebih besar iaitu ia memang aksi demonstran pro BERSIH. Saya difahamkan ada dikalangan mereka yang tidak mahu menuruti arahan pimpinan agar tidak terlibat dalam perihal berkenaan. Siapa mereka? Wallahua'lam. Apa-apapun jika benar demonstran berkenaan memulakan provokasi, pimpinan BERSIH wajar bertanggungjawab.


5. Saya tidak boleh memberikan sebarang komen berkenaan beberapa insiden yang berlaku di lokasi lain seperti insiden kereta polis merempuh demonstran disusuli demonstran menterbalikkan kereta berkenaan. Komen dalam poin ke-4 saya rasa boleh merumuskan pandangan saya. Yang bersalah adalah bersalah, tidak kiralah dari kelompok mana. Dan janganlah dituding kesalahan kepada ratusan ribuan yang lain yang datang dengan cukup aman.



6. Saya tidak boleh menyimpan rasa kecewa melihat kekotoran yang berlaku dalam perjalanan pulang saya ke rumah, banyak botol-botol kosong yang berlemparan. Saya tidak tahu samada mungkin selepas saya pulang akan ada kumpulan khas di bawah BERSIH atau dari Unit Amal yang terkenal dengan disiplin yang baik, yang akan melakukan pembersihan. Jika tiada, ia sesuatu yang perlu diambil kira dalam mana-mana demonstrasi pada masa akan datang dan untuk kali ini BERSIH wajar bertanggungjawab sepenuhnya.


7. Bagi yang tidak bersetuju dengam BERSIH in the first place, saya boleh katakan begini. Ramai antara mereka adalah golongan pro Parti Kerajaan yang fanatik. Mereka sudah selesa dengan kehidupan di bawah pemerintahan parti berkenaan. Mereka 'beriman' bahawa rezeki itu datang dari UMNO BN dan rakyat perlu bersyukur dengan apa yang ada. Mereka kelihatan tidak ambil peduli dengan kes-kes penindasan ke atas rakyat yang tidak bersama parti pemerintah, mereka diugut, dipenjara, dipindahkan kerja serta merta malah ada yang dibunuh seperti kes Memali. Tidak termasuk lagi dengan corak pemerintahan yang tidak Islamik dengan kenyataan-kenyataan menghina hukum Islam dan Ulama'. Bagi golongan ini, saya hanya mampu berdo'a. Semoga Allah membuka hati mereka seluas-luas melihat kezaliman demi kezaliman yang berlaku.


8.  Suka saya ingatkan para pembaca bahawa masalah-masalah yang berlaku dalam sistem pilihanraya kita cukup membimbangkan termasuk dakwaan memberikan kerakyatan sewenang-wenangnya, perpindahan tempat mengundi tanpa pengetahuan pengundi, pengundi yang mustahil seperti orang yang sangat tua, bilangan pengundi yg mustahil dalam satu-satu kediaman dan banyak lagi. Baru-baru ini kita dikejutkan bahawa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR adalah ahli UMNO. Tempangnya sistem pilihanraya kita!


9. Ada di kalangan yang tidak bersetuju itu merasakan BERSIH 3.0 itu bukan penyelesaian terbaik buat ketika ini. Pandangan ini mungkin betul, mungkin tidak. Apa yang saya perhatikan, golongan ini banyaknya datang dari kumpulan yang tidak langsung terlibat dalam menyelesaikan masalah yang ada. Mereka ada di tebingan, memberikan pandangan dan kritikan. Melihat kepada usaha yang telah dilakukan oleh pihak yang berkenaan dalam menyelesaikan masalah ini dengan baik, saya berpandangan bahawa parti pemerintah kelihatan tidak serius dalam menanganinya. Jelas, tempangnya sistem pilihanraya akan memberikan kelebihan yang cukup tinggi kepada mereka untuk terus berkuasa. Golongan 'amal' lebih tahu selok belok bekerja daripada golongan 'pengkritik', begitulah dapat saya simpulkan. Walau bagaimanapun, kritikan dari pihak luar bagi saya perlu dialu-alukan untuk mematangkan segala bentuk keputusan.


10.  Ada di kalangan mereka yang tidak langsung ambil peduli. Mereka mungkin pening dengan mainan politik yang sedang berlaku. Mereka hidup untuk diri mereka dan keluarga mereka sahaja, makan, tidur, makan, kerja, berhibur. Kitaran hidup tidak menggambarkan diri mereka mahu melakukan sebarang perubahan pada masyarakat dan negara. Golongan ini bagi saya, memang sungguh menguntungkan kerajaan yang memerintah. Jikalau mereka mendaftar diri sebagai pengundi sekalipun, undi buat parti pemerintah hampir pasti berlaku.


11. Tuntutan BERSIH adalah wajar dan mustahak! Rakyat yang turun hari ini adalah sebagai usaha kecil dalam mengembalikan negara kepada keadaan yang lebih baik. Pemerintah mesti disedarkan bahawa rakyat marah dengan kerosakan-kerosakan yang telah mereka lakukan. Jika dalam keadaan perhimpunan ini sudah dari awal diharamkan, dan begini sokongan yang datang, saya tidak boleh mengagak bagaimana jika ia dibenarkan. Kita perlu ingat, masih ramai lagi di luar sana yang ingin hadir tapi tidak berkesempatan, dan masih ramai yang menyokong tapi tidak cukup kuat untuk turun bersama. Sesungguhnya, saya percaya jika pilihanraya kali ini benar-benar bersih, parti pemerintah pasti akan tumbang!


12. Saya mengimpikan sebuah negara yang mampu mewujudkan suasana yang lebih baik pada masa akan datang, khasnya untuk generasi muda. Dan saya pasti melihatkan prestasi kepimpinan negara, mereka gagal melaksanakan dengan baik malah dalam perkara-perkara tertentu menjahanamkan kehidupan rakyat. Semoga nukilan ini memberikan manfaat buat teman-teman yang membaca.


Selamat malam buat teman di Malaysia.


-Abu Hafiy-
28 April 2012






sumber

4 people drop their comments!:

Anonymous said...

aku sokong segenap kata-kata kau

Tuan Hijau said...

semua nya punca dari polis jugak...

Datocath affandi said...

proud to be sarawakian.. ta penah wat demo2 mcm nie walaupun ada yg x puas hati.. =)

Izyan Balqis said...

aku nak taip manis-manis takot jadi masin masin jer...

in case, ini pendapat seorang insan biasa, kalau aku jadi dia pun, aku tetap akan buat yang sama...

tapi apa yang berlaku ni patot berlaku ke? bersih ni patot diadakan...?

video banyak yang tak sahih~ banyak video yang aku tengok, sume tak bley dipercayai~

ini pendapat aku~ as a human...tu jer...

SPONSOR

Ad