Ad

Nuffnang Ads

My Friends

Thursday, October 20, 2011

Soi Lek: Batalkan Himpunan Sejuta Umat elak ketegangan agama


Oleh Lisa J. Ariffin
SERI KEMBANGAN, 19 Okt — Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata penganjur Himpunan Sejuta Umat (Himpun) agar membatalkan kempen terhadap Kristian yang didakwa mencabar akidah umat Islam demi mengelakkan ketegangan agama.
“Sama ada ia harus diteruskan ataupun sebaliknya, saya fikir polis tahu apa yang hendak dilakukan, tetapi secara peribadi saya merasakan tidak harus ada sebarang perhimpunan (seumpama itu),” kata Dr Chua hari ini.
“Kita harus mengurangkan sebarang bentuk aktiviti agama yang akan menyumbang kepada perasaan sangsi antara pelbagai kaum di negara ini,” kata beliau.
Dr Chua (gambar) berkata setiap orang menerima hakikat bahawa Malaysia merupakan negara pelbagai kaum dan kepelbagaian dalam pandangan.
“Dan, jika kita tidak boleh menerima yang itu dan selalu mahu mengenakan kepercayaan (kita) ke atas orang lain, akan sentiasa ada ketegangan,” katanya.
Terdahulu The Malaysian Insider melaporkan pemimpin-pemimpin Kristian menganggap perjuangan Himpun, yang mahu membincangkan isu khusus mengenai murtad, sebagai perhimpunan yang tidak relevan dan berharap kumpulan itu tidak akan memprovokasi ketegangan agama.
Pemimpin-pemimpin itu mengingatkan penganjur bahawa tindakan mereka boleh mencetuskan suasana tidak selesa antara komuniti berlainan agama, sekali gus merenggang hubungan masyarakat Muslim dan Kristian dan menjejaskan usaha diambil kerajaan dan pemimpin-pemimpin agama bagi mempromosikan persefahaman dan keharmonian.
“Saya fikir ia (usaha) yang tidak perlu sebab setiap orang tahu bahawa tiada bukti kukuh mengenai kes murtad,” kata Pengerusi National Evangelical Christian Fellowship Rev Dr Eu Hong Seng kepadaThe Malaysian Insider.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Gereja Malaysia Rev Dr Thomas Phillips bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan meminta perhimpunan itu dibatalkan.
Ini kerana menurut beliau, setiap orang di negara ini ada hak untuk kebebasan bersuara dan berhimpun.
Pun begitu beliau juga bersetuju bahawa tujuan perhimpunan itu tidak relevan atas alasan murtad bukan satu isu di Malaysia.
Setakat kelmarin, Himpun mendakwa pihaknya telah mendapat sokongan lebih 2,000 pertubuhan bukan kerajaan dan yakin dapat menghimpunkan lebih 100,000 peserta di Stadium Shah Alam.
Malah, dalam satu kenyataan kelmarin, Islamic Renaissance Front berkata tiada perangkaan tepat mengenai kes murtad dan bimbang Himpun akan memberi gambaran salah dan buruk tentang Islam.
Perhimpunan itu juga bertujuan mahu menerangkan kedudukan perkara yang sebenarnya tidak seperti yang digembar-gembur melalui media, mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan dikalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011, memberitahu rakyat perlunya persoalan akidah ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik, menserlahkan institusi raja yang menjadi payung kaum Melayu dan Islam dalam hal peranan mereka dalam sama-sama menangani isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam di negara ini, menzahirkan kekuatan akidah dan keimanan masyarakat Islam sambil memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa negara ini seandainya isu ini terus dieksploitasi dan menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukkan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwahkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam.

0 people drop their comments!:

SPONSOR

Ad